Wednesday 11 September 2013

Kedudukan parti politik baru belum diputuskan

Kita memerlukan persetujuan dari semua parti komponen yang terdiri dari 13 buah kesemuanya.
KUCHING: Kedudukan dua parti politik baru Sarawak yang mengaku ‘Mesra Barisan Nasional (BN)’ untuk menyertai parti induk BN bakal diputuskan dalam mesyuarat akan datang.

Ketua Menteri Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata sebarang keputusan berhubung penyertaan parti baru itu tertakluk kepada keputusan mesyuarat BN pusat.

“Kita memerlukan persetujuan dari semua parti komponen yang terdiri dari 13 buah kesemuanya untuk membuat keputusan bagi menentukan mereka (parti baru) layak menyertai BN atau sebaliknya,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau keputusan untuk menerima parti baru menyertai BN bukan dalam bidang kuasanya tetapi bergantung kepada budi bicara BN pusat.

Beliau berkata, satu mesyuarat BN pusat akan diadakan tidak lama lagi dan parti politik yang mahu menyertai komponen BN boleh mengemukakan permohonan untuk dipertimbang serta dipersetujui.

Ditanya mengenai permohonan parti baru itu untuk menyertai BN negeri, Pehin Sri berkata, “Mereka boleh memohon tetapi keputusan tetap akan diputuskan dalam mesyuarat BN pusat.”

Dua politik baru Sarawak, Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru telah menyatakan pendirian sebagai parti ‘Mesra BN’ dan mahu bergabung sebagai komponen BN.

Taib peminat no. 1 P.Ramlee

Sementara itu, Taib tidak menolak kemungkinan persembahan Teater Muzikal P Ramlee akan diadakan sekali lagi di Sarawak pada masa depan.

Menurutnya, Teater Muzikal P.Ramlee yang diterajui oleh Penerbit Ekeskutifnya, Datin Sri Tiara Jacquelina berjaya menterjemahkan sedikit sebanyak perjalanan kehidupan seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee disebalik kemasyurannya.

“Saya sangat seronok menikmati persembahan teater musikal ini dan saya rasa, kumpulan teater itu berjaya menggambarkan kehidupan sebenar P Ramlee secara jelas sebelum menjadi seniman agung dan kehidupan seninya,” ujarnya.

Enfiniti Events bijak menggunakan latar belakang seperti penggunaan menara stesen kereta api yang secara tidak langsung membawa penonton menyaksikan sendiri situasi sebenar P Ramlee semasa tiba di Singapura dalam usaha mengejar cita-citanya.

“Persembahan teater musikal ini mungkin akan diadakan lagi pada masa depan dan mungkin babak-babak lain pula dipersembahkan,” ujarnya ringkas.

Ini adalah kali pertama Persembahan Teater Muzikal P Ramlee diadakan di negeri ini yang bersempena dengan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia.

Dalam pementasan selama empat jam tersebut, Tony Eusof memegang watak sebagai P.Ramlee, Elly Mazlein sebagai Saloma, Datin Tiara Jacquelina sebagai Norizan dan Nadia Aqilah sebagai Junaidah berjaya memukau kira-kira 2,000 orang penonton yang setia menyaksikan pementasan berkenaan sehingga tamat. - FMT

No comments:

Post a Comment