Monday 15 July 2013

Mawan bangkit dua isu utama masyarakat luar bandar di Parlimen

SARATOK: Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata, terdapat dua isu utama yang membabitkan kepentingan dan keperluan masyarakat di kawasan luar bandar dibangkitkannya pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen yang sedang berlangsung sekarang.

Katanya, dua isu tersebut ialah peningkatan kesihatan masyarakat di kawasan luar bandar serta berkaitan dengan memperluas kemudahan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) untuk masyarakat luar bandar.

“Dalam isu peningkatan taraf kesihatan masyarakat luar bandar, kita telah memohon pihak kementerian berkaitan mempergiat kualiti dan penyampaian perkhidmatan.

“Usaha dan cadangan tersebut melibatkan usaha memperbanyak khidmat kakitangan kesihatan ke kawasan luar bandar dan mewujudkan lebih banyak pusat kesihatan seperti Klinik 1Malaysia (K1M) dan perkhidmatan doktor udara, di kawasan terpencil dan pedalaman.

“Usaha ini amat penting dipertingkatkan, terutama dalam langkah menjaga dan mempertingkatkan kualiti kesihatan masyarakat luar bandar yang berada jauh dari pusat perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Mawan berkata bagi isu KR1M, beliau memohon kementerian berkaitan mencari usaha memperluas kemudahan berkenaan ke kawasan luar bandar.

“Berdasarkan situasi masa kini, perkhidmatan KR1M hanya tertumpu di kawasan bandar.

“Sehubungan itu, kita mohon pihak kementerian berkaitan mencari alternatif untuk memastikan misi dan matlamat mewujudkan KR1M dirasai oleh seluruh rakyat di negara ini tidak kira di mana mereka berada.

“Dalam membangkitkan isu ini, kita turut mencadangkan sama ada pihak berkaitan melantik satu pihak sebagai contohnya, peniaga kedai runcit kampung untuk memasarkan produk KR1M yang mendapat bekalan secara terus daripada pihak yang dilantik kerajaan, supaya penyelarasan harga barangan diseimbangkan.

“Dengan cara ini, rakyat tidak terasa bebanan harga barangan, terutama barang keperluan dapur,” jelasnya.

Mawan yang juga Ahli Parliman Saratok berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Cek Bagi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Kawasan Parlimen Saratok, petang kelmarin.

Majlis itu berlangsung di Dewan Rumah Dayak Saratok dan dihadiri oleh sekitar 50 penerima terdiri daripada ketua masyarakat, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Menurut Mawan, hasil pembentangan isu tersebut, pihak kementerian menunjukkan beberapa respons positif terhadap isu yang dibangkitkan.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau berharap dengan sedemikian dapat membantu masyarakat khususnya dalam melaksanakan keperluan komuniti, terutama melibatkan kepentingan bersama.

“Kita berjanji akan menunaikan segala janji yang telah dilafazkan terutama pada musim Pilihan Raya Umum lalu. Kita akan berusaha menyelesaikannya sebelum Oktober ini.

“Sehubungan itu, kita harap masyarakat bersabar dan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) agar nikmat kemajuan dan pembangunan dapat dikecapi secara berterusan,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 31 cek MRP untuk kawasan P205 Saratok telah diagihkan.


No comments:

Post a Comment