Tuesday 16 October 2012

Masing kesal pihak burukkan PRS

Individu sertai SWP sepatutnya berjuang untuk membela kaum Dayak

ENGKILILI: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Jemut Masing melahirkan rasa kesal terhadap sikap beberapa individu terutamanya bangsa Iban yang menyertai Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang turut sama berminat memusnahkan PRS yang mewakili kaum Dayak di negeri ini.

Beliau berkata, SWP adalah parti keluarga Datuk Sng Chee Hua yang kebanyakannya dibarisi kaum Cina dan ketika ini giat berkempen hanya di enam kerusi Parlimen PRS yang rata-ratanya diwakili kaum Dayak, terutama Iban.

Menurut beliau, sepatutnya bekas wakil rakyat mahupun pemimpin Dayak itu bekerjasama mengukuhkan lagi PRS, bukannya bertindak memburuk-burukkan pemimpin Dayak yang mewakili PRS.

“Saya kesal dengan sikap beberapa individu dan bekas pemimpin Dayak yang turut sama dengan keluarga Sng berhasrat memusnahkan PRS dan menyerang peribadi kami.

“Sepatutnya mereka ini berjuang untuk membela nasib kaum Dayak terutamanya kaum Iban yang tinggal di rumah panjang di kawasan pedalaman, tetapi sebaliknya mereka ini lebih-lebih menghentam kami di PRS,” katanya.

Masing selaku Menteri Kemajuan Tanah berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Program Sembang-sembang Mesra Belia di Rumah Changgai, Selindung Ili, di daerah Kecil Engkilili, semalam

Majlis yang dihadiri kira-kira 5000 orang itu adalah anjuran Jabatan Hal Ehwal (JASA) Bahagian Sri Aman dan Jabatan Belia dan Sukan Sri Aman.

Sehubungan itu, Masing merayu kaum Dayak terutamanya Iban agar sama-sama berjuang mempertahankan PRS supaya parti terus kukuh untuk membela nasib kaum itu di negeri ini.

“Pertahankanlah enam kerusi PRS yang kebanyakannya diwakili kaum Dayak… saya seorang sahaja tidak akan mampu menggerakkan perjuangan PRS, sebaliknya ia harus melibatkan kita semua,” katanya.

SWP yang dipimpin anak Sng, Larry Sng Wei Shien berniat untuk bertanding di enam kerusi milik PRS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Negara Senator Doris Sophia Brodie, Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak, Ahli Dewan Undangan Negeri Balai Ringin Snowdan Lawan dan dua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Dr Richard Will Uban dan Wilson Nyabong serta Residen Sri Aman Johnathan Lugoh.

sumber:borneopost

No comments:

Post a Comment