Tuesday 6 March 2012

PM sedia bincang isu politik


 LAMAN blog Datuk Seri Najib Razak di www.1malaysia.com.my.

LAMAN blog Datuk Seri Najib Razak di www.1malaysia.com.my.


Mahu berdepan individu fikiran munasabah, serius masa depan negara

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sedia berbincang mengenai politik dengan sesiapa saja yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan serius mengenai masa depan negara. Perdana Menteri berkata, sebagai ahli politik dalam sebuah negara demokrasi, beliau tidak dapat elak daripada orang bercerita perkara buruk mengenai dirinya. “Jika saya tidak boleh menerima hakikat ini, maknanya saya sudah buat pilihan kerjaya yang salah.

“Saya terima dengan adanya. Saya sedia berbincang mengenai politik dengan sesiapa, sama ada lelaki atau perempuan, yang mempunyai pemikiran munasabah dan saya hargai suasana politik di Malaysia yang meriah,” katanya dalam entri terbaru bertajuk ‘Kebenaran Mengenai Malaysia’ dalam blog beliau di www.1malaysia.com.my.

Bagaimanapun, Najib berkata, ada satu garis di mana perbincangan demokratik berakhir dan digantikan pula dengan penyalahgunaan, penipuan dan penyalahgambaran.

Katanya, ada sesetengah pihak di negara ini tidak dapat menahan daya tarikan teori konspirasi yang hanya wujud dalam filem Jason Bourne, bukan dalam perbincangan politik yang rasional kerana teori sebegitu membebaskan diri mereka daripada menanggung tanggungjawab atas kegagalan mereka sendiri.
“Sukar untuk memenangi sesuatu hujah atau gagal mendapatkan sesuatu cara anda. Cara penyelesaian lebih mudah adalah mengadu sistem yang ada ini telah dikongkong daripada bekerja keras untuk mencari hujah lebih baik atau mengakui kesilapan diri dengan rendah diri,” katanya.

Najib berkata, beliau sangat bimbang apabila melihat terlalu ramai mengatakan mereka mahu memimpin Malaysia, namun mereka tidak mampu mengawal diri apabila berdepan sesuatu perbincangan mengenai politik.

“Bagi mereka, tiada batasan dalam menggunakan apa saja cerita, tuduhan atau teori yang keterlaluan, tidak kisahlah sama ada ia berasas atau tidak dan berlandaskan fakta atau tidak.

“Mereka tetap menggunakannya walaupun ia akan merosakkan reputasi negara di mata antarabangsa dan mengganggu kestabilan dalam negara,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya kestabilan untuk semua, tidak kira latar belakang serta warisan mereka, ia antara ciri keunikan negara ini di mata antarabangsa.

“Namun, walaupun kepelbagaian ini menjadi sumber kekuatan kita, ia juga mudah bertukar menjadi kelemahan kita jika pemimpin politik kita memilih provokasi daripada tanggungjawab dan kita pula secara keseluruhannya tidak dapat mengawal diri dan memahami keseimbangan sensitif di negara kita,” katanya.

Najib berkata, konsep 1Malaysia yang beliau perkenalkan adalah mengenai ‘pemanfaatan kekuatan dalam kepelbagaian supaya kita sebagai sebuah negara, dapat menjadi lebih kukuh.’

Beliau berkata, 1Malaysia terbina daripada realiti Malaysia hari ini – adanya perbezaan pada warisan dan tradisi, pandangan dan pengalaman agama dan pendidikan – ia tidak cuba menidakkan kewujudan perbezaan itu.

Namun, katanya, 1Malaysia juga menyatakan perbezaan itu bukan halangan rakyat untuk mencapai matlamat bersama iaitu meningkatkan kemakmuran negara. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment