Wednesday 10 April 2013

Petanda kembali kepada BN



KERAJAAN PRIHATIN: Chin (tengah) bersama pemimpin BN serta wakil-wakil SJKC menunjukkan replika cek bernilai RM15.565 juta di bawah Bantuan Modal SJKC 2013, semalam. — Gambar Bernama

Masyarakat Cina di Sarawak pamer sikap ingin pulang ke pangkuan BN, kata Chin

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, terdapat petanda bahawa masyarakat Cina di negeri ini akan memihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Beliau berkata, masyarakat Cina di Sarawak telah menunjukkan sikap ingin pulang ke pangkuan BN dan tidak lagi menaruh harapan penuh kepada pembangkang seperti pada Pilihan Raya Negeri yang lalu.

“Saya melihat ramai masyarakat Cina yang menghadiri majlis-majlis kerajaan dan ini merupakan petanda baik.

“Pokoknya, kita kena berkempen dengan lebih efektif bagi memperjelaskan kepada pengundi Cina apakah sebab mereka tidak harus menaruh segala harapan kepada pembangkang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Bantuan Modal Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Bantuan Kerajaan Tahun 2013 di SJKC Chung Hua No.6 di sini, semalam.

Justeru, Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyeru masyarakat Cina di negeri ini agar berfikir sewajarnya dalam menentukan kerajaan agar komuniti tersebut akan dapat dibantu secara berterusan.

“Saya penuh yakin BN akan menerajui kerajaan persekutuan lagi dan kalau serah semua kerusi kepada pembangkang, siapa yang akan bantu mereka nanti? Apa rasionalnya meletakkan sepenuhnya (harapan) kepada pembangkang?” ujarnya.

Sementara itu, Chin turut menegaskan hasratnya untuk mengundur diri daripada mempertahankan kerusi Parlimen Miri pada PRU13 nanti bagi memberi peluang kepada muka baharu.

Jelas Chin, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak telah maklum mengenai keputusannya itu dan turut mengambil perhatian tentang penggantinya dengan memastikannya sebagai calon boleh menang.

“Saya sudah berkhidmat selama enam penggal dan eloklah sekarang diberikan kepada muka baharu iaitu orang yang lebih muda,” katanya.

Berhubung keputusan bekas Naib Presiden SUPP yang juga Ahli Parlimen Stampin Datuk Yong Khoon Seng untuk menangguhkan rancangan bersara, Chin berkata pemantauan di peringkat akar umbi mendapati beliau masih mampu menang.

SUPP, satu daripada empat parti komponen BN Sarawak, bertanding di tujuh konstituensi Parlimen iaitu Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sarikei, Lanang, Sibu dan Miri.

Pada PRU 2008, ia memenangi enam kerusi dan kalah di kerusi Bandar Kuching kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebelum kehilangan satu lagi kerusi kepada DAP iaitu Sibu pada Pilihan Raya Kecil 2010.

No comments:

Post a Comment