Tuesday 16 April 2013

PAS didesak gugur nama parti Islam

Kuala Lumpur: PAS perlu menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu berikutan keputusan meletakkan dua calon bukan Islam bertanding atas tiketnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Prof Madya Md Noor Deris, berkata perjuangan PAS terbukti tersasar daripada matlamat asal, semata-mata demi kuasa politik. 

“Jika calon dikekalkan, PAS jelas parti sesat menggunakan nama Islam, tapi tidak mengamalkan ajaran Islam sebenar,” katanya ketika dihubungi, semalam. 


Beliau mengulas keputusan PAS menampilkan dua calon bukan Islam, masing-masing Hu Pang Chaw bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam dan R Kumutha bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, kedua-duanya di Johor. Ini kali pertama dalam sejarah PAS, calon bukan Islam bertanding menggunakan lambang parti itu.

Kaburi masyarakat Islam

Md Noor berkata, PAS kini hanya bertopengkan politik Islam dengan membawa imej ulama supaya dapat terus mengaburi masyarakat Islam di negara ini, sekali gus wajar ditolak pada pada PRU-13, 5 Mei ini.

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad pula berpendapat, tindakan PAS itu jelas menunjukkan perjuangan politik sebenar parti berkenaan, malah beliau sendiri tidak pernah menganggap PAS parti Islam kerana mereka mengamalkan politik kebencian yang bertentangan ajaran Islam.- BH

No comments:

Post a Comment