Tuesday 9 April 2013

Manifesto SWP disifatkan mesra Sarawak



MESRA SARAWAK: Larry (dua kanan) bersama barisan pimpinan SWP yang lain melancarkan manifesto PRU13 parti yang bersifat mesra Sarawak di ibu pejabat parti di Kuching semalam.


Gariskan 14 kandungan utama, janjikan yang terbaik untuk rakyat Sarawak

KUCHING: Manifesto Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang dilancarkan semalam disifatkan sebagai mesra Sarawak oleh Presidennya Larry Sng.

Menggariskan 14 kandungan utama, manifesto ini menjanjikan yang terbaik untuk rakyat Sarawak daripada segala aspek jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Bertepatan dengan perjuangan parti yang mesra Barisan Nasional (BN), manifesto SWP akan memastikan tidak ada mana-mana rakyat yang akan disisihkan daripada menikmati pembangunan.

Antara kandungan dalam manifesto SWP, pendidikan percuma untuk keluarga berpendapatan di bawah RM2,500 sebulan, hutang PTPTN dimansuhkan bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan di bawah RM2,500 sebulan dan menambah bilangan guru Sarawak kepada 10 peratus daripada jumlah nasional.

Selain itu, manifesto SWP juga menjanjikan pembinaan jalan penghubung dari Sibu ke Kapit dalam tempoh lima tahun, setiap hospital di Sarawak akan ditempatkan tiga doktor pakar dan enam pegawai perubatan, meningkatkan bantuan kebajikan kepada setiap penerima di kawasan luar bandar yang hanya dihubungi melalui jalan sungai kepada RM200 sebulan dan meningkatkan bilangan penjawat awam Dayak dan Cina di peringkat persekutuan kepada 50 peratus.

Manifesto SWP juga menjanjikan akan mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC), meningkatkan pertahanan di kawasan sempadan dan perairan, peruntukan RM100 juta bagi pemuliharaan dan promosi budaya peribumi Sarawak, peruntukan RM500 juta untuk tabung pembinaan sekolah kerajaan, menghapus kemiskinan dalam tempoh lima tahun, wajib lulus subjek Bahasa Inggeris dalam SPM dan peruntukan RM50 juta bagi pembinaan dan penyelenggaraan gereja dan tokong.

“Kami mengambil serius janji-janji dalam manifesto ini dan bersungguh-sungguh untuk berkhidmat kepada rakyat negeri ini.

“Jika kami berjaya membentuk kerajaan kami akan memastikan semua yang dijanjikan ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Larry berkata demikian pada sidang media pelancaran manifesto parti sempena PRU13 di ibu pejabat parti di sini semalam.

Turut hadir pada sidang media itu semalam, Setiausaha Agung SWP Dr Ong Lak Sai, Naib Presiden Kanan Josephine Mawat, Ahli Majlis Tertinggi Jonathan Jalin serta lain-lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Larry turut menyatakan keyakinan menyapu kedudukan Parti Rakyat Sarawak (PRS) di enam kerusi yang bakal ditandingi pada PRU13 nanti.

Enam kerusi tersebut adalah Lubok Antu, Julau, Hulu Rajang, Selanggau, Kanowit dan Sri Aman yang merupakan kerusi yang disandang oleh PRS.

Larry yang yakin dengan kemampuan SWP berkata meskipun pilihan raya yang bakal berlangsung nanti merupakan pertaruhan pertama parti namun berdasarkan sokongan yang diterima SWP dilihat mempunyai peluang untuk menang.

“Setakat ini kami mempunyai seramai lebih 35,000 ahli manakala sekitar 5,000 lagi masih dalam proses permohonan meliputi daripada keenam-enam kerusi yang bakal kami tandingi.

“Saya menjangkakan lebih ramai lagi ahli akan mendaftar untuk menyertai parti dan kebanyakan daripada mereka merupakan individu yang tidak mempunyai parti atau keluar daripada parti lain,” ujarnya yang juga calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Lubok Antu nanti.

Dalam pada itu, Larry pada sidang media itu semalam masih enggan mendedahkan nama tiga lagi calon yang akan bertanding bagi kerusi Selangau, Kanowit dan Sri Aman.

Nama-nama tersebut katanya hanya akan diumumkan selepas tarikh penamaan calon ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai ruang kepada SWP untuk meneliti calon terbaik.

No comments:

Post a Comment