Gantung bendera ketika bukan tempoh berkempen adalah menyalahi undang-undang
KUCHING: Tindakan parti politik menggantung bendera parti di tempat awam seperti di tepi jalan ketika bukan tempoh berkempen merupakan perbuatan menyalahi undang-undang.
Perkara itu ditegaskan oleh Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak Datu Takun Sunggah yang menyarankan agar parti-parti politik yang telah menggantung bendera parti di tempat awam agar menurunkannya semula.
Beliau menegaskan perbuatan itu menyalahi undang-undang dan pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan ke atas perkara itu.
“Jika bendera parti itu digantung di tempat markas atau bilik gerakan atau di halaman rumah di kampung-kampung ia tidak menjadi satu kesalahan tetapi kalau ia digantung di tempat awam seperti di tepi jalan atau di bulatan ia adalah satu kesalahan.
“Justeru, saya menyarankan agar PBT mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana parti yang tidak mematuhi undang-undang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada masa yang sama Takun menjelaskan bahawa SPR hanya mempunyai kuasa untuk menurunkan bahan-bahan kempen yang menyalahi undang-undang pilihan raya pada tempoh berkempen sahaja.
“Untuk masa ini ia di bawah bidang kuasa PBT dan pihak PBT boleh bertindak menurunkan bendera berkenaan yang digantung di tempat awam,” katanya.
Menyentuh mengenai ciri-ciri bahan kempen menyalahi undang-undang yang digantung pada tempoh berkempen, beliau memberitahu jika bahan kempen itu mempunyai unsur-unsur jahat atau fitnah pihak SPR tidak teragak-agak menurunkannya.
Selain itu, beliau memberitahu bahawa calon-calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti hendaklah membayar deposit bahan kempen sebanyak RM5,000 dan mendapatkan permit daripada PBT sebelum menggantung bahan kempen.
Sementara itu, bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perbuatan itu merupakan satu budaya yang tidak sihat dan tidak menghormati undang-undang yang ditetapkan.
“Saya berharap PBT boleh bertindak tegas supaya budaya membelakangi undang-undang ini tidak menjadi amalan politik Sarawak.
“Bagi Santubong, Jawatankuasa Tertinggi Bilik Gerakan Operasi Pilihan Raya telah memberi arahan supaya patuh dengan undang-undang dan arahan SPR,” tegasnya.
Wan Junaidi yang juga penyandang kerusi Parlimen Santubong berkata walaupun di Semenanjung Malaysia perkara itu berleluasa dan menjadi budaya di sana beliau berharap rakyat di negeri ini tidak mengamalkannya.
“Kita ada undang-undang yang telah ditetapkan jadi kita kena patuhinya. Oleh itu saya berharap rakyat negeri ini tidak menerima budaya dan amalan tidak patuh kepada undang-undang ini,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment