Tuesday 13 November 2012

Masyarakat Cina hadapi cabaran besar PRU13

SIBU: Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata masyarakat Cina akan menghadapi cabaran terbesar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang,harus bejak membuat keputusan untuk menentukan nasib dan masa depan mereka.

Wong menjelaskan, ini adalah satu perkara yang mereka perlu membuat keputusan secara kolektif dan beliau berharap masyarakat membincangkan isu tersebut secara le-bih serius di kalangan mereka.

“Kita mempunyai sebanyak 222 kerusi Parlimen. Daripada jumlah itu, kerusi majoriti Cina tidak mencapai 15 peratus. Jika pembangkang menang semua kerusi majoriti Cina, masyarakat akan tertinggal daripada arus perdana politik,” katanya pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Penempatan Masyarakat Hin Hua di Bandar Sibu, di sini malam Sabtu lalu.

Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat berkata, ini kerana tiada cara lain untuk pembangkang menggantikan kerajaan memerintah yang sedia ada.

“Seperti yang kita lihat jika anda mengundi untuk pembangkang, satu-satunya perubahan masyarakat yang akan kita lihat adalah anda berada di luar arus perdana politik.

“Maka persoalannya, kekal dalam arus perdana politik atau memilih pembangkang yang hanya bijak menunaikan janji kosong,” ujar beliau.

Wong turut menyeru generasi muda agar mencontohi sifat kegigihan nenek moyang mereka yang telah berusaha memajukan pembangunan negara.

“Oleh itu, pentingnya generasi muda menghargai dan mencontohi usaha yang dilakukan nenek moyang dan terus mengorak langkah yang lebih maju pada masa depan,” tegasnya.

Pada sambutan itu, Wong berkata nenek moyang telah meninggalkan tanah air mereka untuk belayar ke bandar ini dan memberikan sumbangan yang bermakna kepada masya-rakatnya.

“Seratus tahun lalu hingga kini, mereka (masyarakat Hin Hua) telah mengasaskan sebuah masyarakat makmur dan harmoni. Seperti yang kita lihat, bukan hanya masyarakat Hin Hua, malah masyarakat Cina yang lain,” katanya.

Hadir sama Presiden Kehormat Persatuan Hin Hua Pou Sen Sibu Vincent Goh Chung Siong dan Pengerusi Persatuan Hin Hua Pou Sen Sibu Philip Lau King Kah.



sumber:
borneopost